top of page
Search
  • Writer's pictureMSI 5388

Fitnah

MENGUPAS FITNAH YANG MENULAR DI SEBALIK COVID-19, TABLIGH DAN KLUSTER SRI PETALING


Gelombang kedua covid-19 di Malaysia telah mengejutkan banyak pihak. Hampir sebulan, tabligh dan kluster Sri Petaling menjadi wirid para netizen di alam maya.


Virus penyebaran fakta salah cepat merebak, selaju merebaknya virus corona. Memburukkan lagi keadaan, ada sebilangan penulis facebook dan youtuber cuba menarik perhatian warga maya dengan hanya bermain kata-kata penuh emosi dan menyeleweng daripada fakta. Sekadar menggunakan sentimen dan ketakutan untuk mewujudkan persepsi buruk masyarakat pada jemaah tabligh sahaja.


Walau agak terlewat, saya terpanggil untuk mengupas isu ini secara tuntas, agar segala fitnah terhadap jemaah tabligh tidak terus dimainkan oleh ‘tentera bawang Malaysia’ yang saat ini banyak masa terbuang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Isu Covid-19 menunjukkan orang tabligh ini degil, tidak mengikut arahan KKM, benarkah? Sebenarnya, untuk menjawab persoalan ini, kita perlu memahami isu ini secara holistik yakni secara menyeluruh dan berkait antara satu sama lain.


Anda tidak boleh menjawab atau membuat ulasan jika anda tidak tahu ehwal dari awal lagi. Inilah tabiat kebanyakan netizen dan penulis facebook yang acah-acah pandai dan prihatin, suka sangat mengupas isu tanpa memahami situasi kejadian dari awal.


Sebelum saya kupas persoalan ini, saya akan jelaskan semula situasi dari awal kejadian himpunan hingga membawa kepada wujudnya istilah ‘Kluster Sri Petaling' dan menimbulkan kecaman masyarakat pada jemaah tabligh hingga ada beri cadangan ‘bunuh sahaja tabligh yang degil’.


Malah ada juga yang membuat video mengatakan ‘jemaah tabligh sesat’. Penulisan ini memang agak panjang, mohon rajin membaca dengan tenang, agar dapat memahami isu ini dengan lebih jelas lagi.


Mula sekali, saya bawa kepada awal kejadian himpunan di Masjid Sri Petaling. Himpunan diadakan pada 28 Februari 2020 hingga 2 Mac 2020. Himpunan yang dinamakan ‘Jord Qudama dan Ulama’ ini memang setiap tahun diadakan.


Tujuan himpunan adalah untuk mengumpulkan semua mereka di seluruh Malaysia yang mempunyai pengalaman keluar dakwah dan tabligh selama 4 bulan. Bagi golongan ulama pula, sekurang-kurangnya berpengalaman keluar 40 hari.


Cara memaklumkan dan memanggil mereka hadir ialah melalui keputusan mesyuarat di Masjid Sri Petaling. Maklumat ini akan turun kepada 28 markas negeri. Markas-markas negeri pula akan turunkan maklumat kepada halqah-halqah (kawasan-kawasan kecil di bawah markas negeri).


Jelasnya, kehadiran peserta ke himpunan ini melalui halqah kepada markas negeri dan seterusnya kepada markas utama iaitu Masjid Sri Petaling. Perkara ini penting untuk anda faham dahulu.


Namun, kerana Masjid Sri Petaling ini adalah masjid awam, setiap aktiviti yang dibuat secara terbuka, tiada halangan sesiapa pun untuk hadir dan duduk program. Untuk mudah memahami, kita bahagikan mereka yang hadir himpunan tersebut kepada dua golongan. Satu, mereka yang betul hadir mengikut halqah dan markas negeri, kita namakan mereka ini sebagai ‘orang tabligh’ (istilah ini bukan ditetapkan dalam usaha ini, tetapi untuk mudah membuat perbezaan sahaja).


Manakala satu lagi mereka yang hadir tidak melalui markas negeri, mereka datang secara individu atau mungkin secara kumpulan kecil, dan mereka ini tidak pernah pun ikut keluar dakwah walau tiga hari sekalipun. Kita namakan mereka sebagai ‘orang awam’. Kebanyakan orang awam yang hadir ini memang suka pada program-program tabligh.


Kehadiran ‘orang tabligh’ ke perhimpunan akan dicatat. Kehadiran orang awam pula memang tidak dicatat. Kenapa tak catat? Sekali lagi diulangi, Masjid Sri Petaling adalah masjid awam dan setiap program yang dibuat adalah secara terbuka, sesiapa pun boleh datang solat dan duduk program.


Selama ini, adakah sesiapa datang ke masjid perlu dicatat nama? Adakah sesiapa hadir ceramah agama di masjid perlu dicatat nama? Tidak, bukan. Begitulah orang awam yang hadir himpunan tersebut, memang tidak dicatat butiran mereka.


Berapa jumlah kehadiran yang sebenarnya? Bilangan kehadiran sepanjang tiga hari itu memang sukar dikira dengan tepat. Ada yang menganggarkan 12k, ada juga mengatakan 14k. Namun hasil pengumpulan data yang dibuat oleh pihak Masjid Sri Petaling, bilangan ‘orang tabligh’ yang hadir dari markas-markas negeri adalah seramai 12102 orang.


Saya ulangkan semula ayat ini agar anda betul-betul faham, HASIL PENGUMPULAN DATA YANG DIBUAT OLEH MASJID SRI PETALING, BILANGAN ‘ORANG TABLIGH’ YANG HADIR DARI MARKAS-MARKAS NEGERI ADALAH SERAMAI 12102 ORANG.


Nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat mereka semua telah pun diserahkan kepada pihak KKM dan PDRM. Bagaimana nak kata orang tabligh degil dan perlu dijejaki? Maklumat mereka memang sudah pun ada. Mengikut rekod, mereka juga telah hadir ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk disaring.


Andai ada yang mengatakan kehadiran seramai14k atau 16k, anda perlu tanya dari mana mereka dapat bilangan tersebut? Data mana yang mereka gunakan?


Baik, jika betul 16k sekalipun, itu bukan sesuatu yang mustahil. Namun, kena faham, selebihnya itu mungkin orang awam termasuk orang Rohinya, orang Pakistan dan orang Bangladesh yang bekerja di Malaysia. Mereka memang mesra dengan jemaah tabligh kerana mereka dilayan dengan baik.


Mungkin penulis facebook yang mencadangkan agar ‘bunuh sahaja orang tabligh bodoh’ itu merujuk kepada lebih kurang 3000 orang awam (dengan mengambil data 14k kehadiran yang tidak diketahui puncanya) itu. Jika itu yang dimaksudkan, mengapa guna istilah orang ‘tabligh bodoh’?


Mereka itu datang tidak melalui halqah dan tidak melalui markas negeri. Malah mereka mungkin tidak pernah ikut keluar tabligh walau tiga hari sekalipun. Mungkin istilah yang sesuai digunakan ialah ‘mereka yang hadir ke Ijtima di Sri Petaling, yang degil tidak mahu membuat saringan….’ ayat begitu lebih menunjukkan anda bertanggungjawab dan tidak dengan mudah merendahkan sifat nabi saw.


Kita sambung semula kisah himpunan di Masjid Sri Petaling. Himpunan ini tidak melanggar undang-undang negara dan jabatan agama. Pada masa berlangsungnya himpunan tersebut, isu covid-19, walaupun telah mula merebak di Malaysia, tetapi dalam skala yang kecil, hanya 26 kes sahaja. WHO belum isytiharkan sebagai pandemik. Tiada larangan dari kerajaan untuk membuat himpunan. KKM juga belum mengeluarkan arahan penjarakan sosial (social distance).


Tanpa dijangka, dengan takdir Allah swt, rupanya dalam perhimpunan melibatkan beribu orang itu, ada mangsa covid-19 turut serta. Saya tegaskan, ada MANGSA Covid-19 turut serta. Kenapa dikatakan mangsa? Saya yakin, dia telah hadir ke himpunan tersebut tanpa mengetahui bahawa dia adalah pesakit covid-19.Kita tidak boleh salahkan mangsa pertama dari kluster Sri Petaling ini.


Kita tidak tahu, sepanjang tiga hari itu, berapa ramai yang telah menjadi mangsa seterusnya. Mereka tidak bersalah kerana mereka semua adalah mangsa kepada satu penyakit yang tidak disedari dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar.


Perhimpunan berakhir pada 2 Mac 2020. Sebahagian peserta balik ke rumah dan menjalani rutin harian seperti biasa. Sebahagian pula, tidak balik ke rumah, sebaliknya mereka membentuk jemaah untuk keluar berdakwah 4 bulan atau 40 hari.


Jemaah yang dibentuk ini, ada yang ke luar negara. Ada juga yang ke Sabah, Sarawak dan ada yang dalam Semenanjung Malaysia. Mereka keluar sebelum ada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka yang keluar dakwah ini juga tidak melanggar undang-undang negara.


Semua peserta perhimpunan tadi, baik yang balik ke rumah atau yang terus keluar berdakwah, telah bercampur dengan masyarakat awam. Ada yang menghadiri kenduri kahwin, ada yang berjalan bersama keluar, ada juga cikgu yang hadir mesyuarat PIBG, ada yang bekursua. Pastinya juga masjid-masjid di Malaysia ada disinggahi oleh peserta himpunan ini. Sebahagian mereka mungkin telah dijangkiti Covid-19 tanpa mereka sedari. Tanpa mereka sedari!


Kes covid-19 mula dikaitkan dengan himpunan di Sri Petaling pada petang hari Rabu 11 Mac 2020. Kes pertama covid-19 di Brunei, mendapati pesakit ada menghadiri himpunan di Sri Petaling. Malam itu pula, tular di medsos beberapa kes di Pahang dan Johor, juga melibatkan peserta himpunan di Sri Petaling.


Esoknya, Khamis 12 Mac 2020 barulah ramai orang tabligh hadir ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) atau hospital kerajaan untuk disaring. KKM juga mula memaklumkan kes covid-19 melibatkan peserta himpunan di Sri Petaling. KKM juga meminta semua yang telah menyertai himpunan tersebut hadir ke hospital atau pkd untuk membuat saringan.


Kebanyakan mereka yang hadir ke PKD dan Hospital ini dipecahakan kepada dua kumpulan, ada simptom dan tiada simptom. Kumpulan tiada simptom akan diberi sedikit penerangan tentang kuarantin diri dan diberi cuti sakit, balik rumah kuarantin sendiri selama 14 hari. Kumpulan mempunyai simptom pula akan diambil sampel dari hidung dan tekak.


Jika dilihat kronologi di atas, selama 10 hari selepas himpunan di Sri Petaling berlalu, tiada siapa pun mengetahui bahawa sebahagian peserta ialah pesakit covid-19. Diri pesakit sendiri pun tidak mengetahuinya. Kita tidak tahu, berapa peratus dari peserta himpunan itu telah mengidap penyakit ini dan mereka berjalan dan berhubung dengan masyarakat luar.


Mereka jadi mangsa, dan berapa ramai lagi turut jadi mangsa tanpa sedar. Kerana itulah rantaian dari Kluster Sri Petaling ini memakan masa untuk diputuskan. Bilangannya terlalu besar dan 10 hari berlalu tanpa sedar.

Media ada mengatakan masih ada 5084 orang tabligh perlu dijejaki? Kes ini muncul bila media mensensasikan tajuk berita yang diambil dari ucapan KP KKM pada 28 Mac 2020. Jika diperhati dan dengarkan secara betul, dalam sidang akhbar tersebut Dr Nor Hisham, telah membentangkan angka-angka berikut:


Seramai 17584 peserta ijtimak telah pergi untuk membuat saringan. Sebanyak 12,500 orang telah diambil sampel. 5084 pula belum diambil sampel. Dari data ini,media mengatakan KKM menjejaki 5084 peserta ijtima yang masih tidak diambil sampel.


Mari kita lihat dari mana datangnya angka 5084 ini. 17584 yang telah datang membuat saringan ditolak dengan 12500 yang telah diambil sampel, bakinya 5084. Maksudnya 5084 ini berada dalam senarai 17584 orang yang telah pun pergi membuat saringan.


Mereka telah disaring cuma tidak diambil sampel sahaja. Mereka bukan perlu dijejaki kerana mereka telah hadir ke pkd, maklumat mereka telah ada pada KKM dan PDRM. Sebenarnya mereka 'dipanggil semula' untuk diambil sampel. Sebelum ini mereka hadir untuk disaring tetapi tidak diambil sampel kerana tiada simptom.


Atas kekeliruan membaca fakta inilah, pada 28 Mac itu juga, seorang penulis facebook, acah-acah terlalu prihatin pada masyarakat, dengan lantang membuat video manuduh jemaah tabligh sesat degil tidak mahu ke hospital.


Tanpa mengkaji fakta, beliau dengan yakin mengatakan bahawa menurut KKM, 5000 orang tabligh sesat masih degil tidak mahu datang ke hospital untuk disaring. Walhal, data KKM yang dimaksudkan oleh KP KKM ini ialah 5084 yang perlu hadir semula untuk diambil sampel.


Inilah contoh orang yang suka menyebar cerita untuk menarik perhatian warga maya dengan fakta yang tidak tepat. Bercakap hanya dengan emosi dan penuh prejudis terhadap jemaah tabligh. Menonjolkan wajah seorang yang hilang kewarasan dalam berbicara.


Kini bilangan kes baru dari kluster Sri Petaling yang telah masuk generasi ke lima semakin mengecil. PDRM juga telah maklumkan isu Kluster Sri Petaling telah pun selesai. Peratus bagi keseluruhan kes Covid-19 bagi kluster Sri Petaling juga semakin sekitar 40% sahaja.


Sebaliknya beberapa kluster baru pula muncul. Terbaru kluster pulang dari Itali. Bagaimana dari seorang sahaja boleh merebak menjadi 37 orang hingga mengakibatkan 5 kematian. Telah muncul beberapa kluster baru lagi.


Dahulu pernah saya tulis, kita bimbang dalam sibuk orang ramai membalun ‘punching-bag’, rantaian ‘timing bomb’ sedang bergerak untuk meledakkan gelombang ketiga. Nauzubillah, moga dijauhi dari Allah swt.


Sekarang bukan masa untuk kita beremosi menghentam orang itu orang ini. Bukan masa untuk menyalahkan sesiapa. Juga bukan masa untuk kita bergerak ke sana, ke sini, ke sana, ke sini. Sekarang masa untuk kita banyakkan islah diri dan banyak mengadu kepada Allah swt. Teruskan stayathome. Hanya duduk rumah.


HAIRERE SHUAIB

8/04/2020

5 views0 comments

Recent Posts

See All

MF

Kisah Misteri Mona Fandey Hai... Hari ini aku macam berminat nak follow tentang Mona Fandey. Walaupun tajuk mungkin dah lapok, tapi dari beberapa blog dan website yang aku baca,, aku agak tertarik seb

Wife.

Post: Blog2_Post
bottom of page